Want your
own Fotopage?






 
Sayang Mama dan Papa Alesha Abriza

By: mmah laloque

[Recommend this Fotopage] | [Share this Fotopage]
[<<  <  1  2  3  4  5  [6]  7  8  9  10  11  12  >  >>]    [Archive]
Tuesday, 25-Apr-2006 08:13 Email | Share | | Bookmark
Alhamdulillah... Alesha tiada masalah jantung

Alesha dan bunny pemberian rakan sekerjaku
Mane lagi pink.. bunny ke Lesha?
Alesha ketika menunggu giliran di IJN siang tadi
View all 6 photos...
A'kum..

Alhamdulillah, hasil dari pemeriksaan teliti oleh pakar jantung di IJN, sah Alesha tidak mengalami sebarang masalah jantung. Syukur kehadrat Allah. Sepanjang menunggu giliran untuk pemeriksaan, hati ini berdebar-debar. Dan segala debaran hilang, sebaik mendengar kata-kata pengesahan Doktor itu.

Sepanjang perjalanan dalam ambulan dari hospital putrajaya hingga IJN, kata doktor dan nurse yang mengiring, Alesha asyik meragam. Takut juga kalau-kalau dia disset semula. Tapi rupanya, Lesha mahu didukung! Dia seperti bayi lain, suka untuk didukung. Susahlah nurse yang menjaganya nanti. Mesti Lesha selalu menangis mohon untuk didukung.

Sekarang ini, hanya rahmat Allah kupohonkan agar, tulang belulang Alesha kembali tumbuh normal dan kuat. Kata doktor, tumbesaran tulangnya langsung tidak berlaku. Itu sahaja yang menjadi punca segala-galanya. Aku dan suami tetap percaya kepada ayat-ayat Allah seperti mana yang dinyata didalam Surah Yassin:

[78] Serta dia mengemukakan satu misal perbandingan kepada Kami (tentang kekuasaan itu) dan dia pula lupakan keadaan Kami menciptakannya sambil dia bertanya: Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur seperti debu?

[79] Katakanlah: Tulang-tulang yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya dan Dia Maha Mengetahui akan segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakanNya);


Monday, 24-Apr-2006 07:02 Email | Share | | Bookmark
Esok Alesha ada appointment di IJN

A'kum..

Terima kasih sahabat semua. Sungguh terharu dan amat berbangga kerana saya dapat mengenali sahabat semua. Walaupun hanya melalui ruangan siber ini sahaja. Seakan pengenalan kita semua sepertinya telah berzaman, cukup akrab dan utuh.

Esok Alesha dijadualkan untuk satu pemeriksaan jantung di Institut Jantung Negara. Saya tidak dapat mengikutinya, hanya suami sahaja yang akan menemani Alesha di sana. Memang selama ini suami saya peneman yang setia, sama ada kepada saya mahupun Alesha. Saya amat berharap, tiada lagi berita yang mengejutkan dikhabarkan oleh doktor. Cukuplah!!!

Sebenar ada beberapa gambar terbaru keadaan Alesha yang ingin saya muat turun, namun malang, ada beberapa masalah sikit pada alatan muat turun dari talifon bimbit saya ke PC. Insyallah, sekiranya berjaya diatasi, pasti akan saya muat turun nanti.

Terima kasih sahabat semua untuk segala yang telah anda semua lakukan.


Wednesday, 19-Apr-2006 02:39 Email | Share | | Bookmark
Terima kasih semua....

Terima kasih semua. Doa dan kata-kata semangat yang diberikan amat bermakna buat saya. Alhamdulillah, Allah masih sayangkan saya, Dia masih mengkurniakan semangat untuk saya terus menghadapi dugaan ini. Sehingga saat yang ditentukan itu sampai, saya tidak akan putus harapan dan akan terus berdoa kepada-Nya.

Alhamdulillah juga, sehingga ke saat ini, Alesha masih lagi cergas dan sihat. Dia seperti anak-anak lain, mulai membesar dan beratnya telah meningkat 4.085 kg. Pernafasannya juga semakin teratur. Dia sudah pandai menghisap susu walaupun sedikit, dan air liurnya tidak banyak lagi menyekat kerongkongnya. Cuma, tumbesaran tulangnya masih tidak berlaku seperti sepatutnya.

Saya setiap hari bermohon kehadrat Allah, semoga dikurniakan ihsan dan rahmatNya agar; Alesha disembuhkan dari penyakitnya, memohon agar tulang-belulangnya tumbuh subur dan kuat, serta dikuniakan kepada Lesha kebolehan untuk pernafasan, menghisap susu dan meluahkan air liur dengan sempurna.

Apa yang menjadi harapan saya, cuma satu, biarlah Alesha dapat kembali ke rumah... walau apapun kesudahannya, biarlah ianya terjadi di rumah kami, ketika Alesha berada di pangkuan saya, di pelukkan saya.. biarlah kesudahan itu terjadi di rumah..........


Monday, 17-Apr-2006 00:38 Email | Share | | Bookmark
Bilakah Izra'il datang menjemput...

Alesha Abriza.......
A'kum...

Saya sudah tidak punya daya untuk menaip lagi, sudah kehausan idea untuk mencoret, telah kekeringan keceriaan untuk menyinar.... Saya tidak mampu lagi untuk mengambil gambar Alesha untuk dimuaturun dalam FP ini kerana tidak mampu untuk memetik punat handphone.

Doktor telah memanggil suamiku dan memberikan kata-kata yang paling ditakuti oleh setiap ibu bapa. Kata Doktor keadaan Alesha walaupun sihat dan stabil, berat badannya terus meningkat, namun sebenarnya, tulang Lesha tetap tidak berubah. Keadaan tulangnya tidak membesar, malahan semakin mereput dan rapuh. Kata doktor lagi, ketibaan izrail datang menjemput pasti akan berlaku cuma saat dan masanya tidak diketahui. Doktor memberikan pilihan kepada suamiku, sekiranya sampai saat Alesha disset semula, suamiku harus membuat pilihan.... 1. Meneruskan bantuan hayat Alesha dengan mesin ventilator dan Lesha akan terus disakiti dengan tusukkan jarum dan bekalan ubat-ubatan yang memahitkan; atau 2. Memberikan Alesha bantuan oxigen secara biasa sehinggalah ketentuan Allah tiba dan izrail melaksanakan tugas yang diamanahkan padanya...

Berat sungguh pilihan yang diberikan kepada kami untuk dipilih. Terlalu berat!!!! Allah..........

~Sahabat semua, sekiranya FP ini menyepi buat beberapa ketika, saya harap sahabat semua faham bahawa saya sudah tidak punya kudrat untuk mencoret lagi...


Thursday, 13-Apr-2006 08:32 Email | Share | | Bookmark
Terima kasih kak Ayu

Sumbangan rakan kami - Rahayu Nasikon
Terima kasih Kak Ayu untuk sumbangan wallpaper nie. Jasa Akak pada kami terlalu banyak. Terima kasih sekali lagi.


[<<  <  1  2  3  4  5  [6]  7  8  9  10  11  12  >  >>]    [Archive]

© Pidgin Technologies Ltd. 2014.

ns4008229.ip-198-27-68.net